FAQ-GENERAL

Written by Super Admin.

FAQ GENERAL

1. Perlukah saya mempunyai komputer di rumah untuk mengikuti Program e-PJJ?
Anda tidak perlu mempunyai komputer di rumah (tetapi ianya lebih memudahkan sekiranya anda ada kemudahan ini di rumah). Walau bagaimana pun, anda perlu mempunyai kemudahan akses ke Internet, sama ada dari pejabat atau di pusat-pusat siber.

2. Perlukah saya masuk ke kelas maya e-PJJ setiap hari?
Tidak perlu. Walau bagaimana pun, anda digalakkan untuk mengakses kelas maya seberapa kerap yang boleh/mampu/upaya. Pada puratanya, anda hanya perlu masuk ke kelas maya lebih kurang dua atau tiga kali seminggu.

3. Berapa lamakah perlu saya berada di dalam kelas maya setiap kali saya mengaksesnya?
Terpulang kepada anda. Pada puratanya, anda hanya perlu berada di dalam kelas maya diantara 30 minit hingga 40 minit bagi setiap sesi. Lain-lain kerja boleh anda lakukan di luar talian (offline).

4. Perlukah saya mempunyai kemahiran IT yang tinggi untuk mengikuti program ini?
Tidak perlu. Anda hanya perlu tahu mengakses laman kami melalui Internet sahaja di peringkat awal. Sistem yang digunakan adalah amat mesra pengguna dan panduan permulaan juga disediakan untuk membantu anda. Anda juga boleh mendapat bantuan teknikal melalui e-mel atau telefon pada waktu bekerja biasa.

5. Adakah program e-PJJ diikitiraf?
Semua Program e-PJJ diikitiraf oleh pihak-pihak yang terbabit, seperti Kementrian Pendidikan dan Jabatan Perkhidmatan Awam. Dari segi syarat, polisi, kualiti, kurikulum, silabus dan sebagainya, Program e-PJJ adalah sama dengan program-program UiTM sepenuh masa yang lain. Perbezaan adalah dari segi cara pembelajaran sahaja.

6. Bolehkah saya memindah kredit yang telah saya perolehi dari IPT lain?
Setelah diterima dan mendaftar sebagai pelajar e-PJJ UiTM, anda boleh memohon untuk mendapat pemindahan kredit bagi kursus-kursus yang telah anda ambil dan lulus daripada IPT yang diikitiraf oleh Lembaga Akreditasi Negara (LAN).

7. Saya mempunyai kelayakan dari IPTS. Bolehkah saya menggunakannya untuk memenuhi syarat kemasukan?
Semua kelulusan IPTS yang diiktiraf oleh LAN boleh digunakan untuk memenuhi syarat kemasukan ke dalam program-program e-PJJ.

8. Adakah UiTM menyediakan sebarang bantuan kewangan atau biasiswa?
Program e-PJJ adalah sebuah program yang telah mendapat subsidi dari UiTM dan membolehkan kadar yuran rendah dikenakan. Bantuan kewangan secara langsung tidak dapat disediakan. Walau bagaimanapun, anda boleh mendapat pinjaman pendidikan dari mana-mana institusi kewangan. Permohonan Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) disediakan bagi pelajar-pelajar yang memenuhi syarat-syarat kelayakan. Untuk maklumat lanjut boleh layari http://onlineapps.ined.uitm.edu.my/mdab/.

9. Bila dan bagaimana untuk memohon?
Anda boleh memohon pada bila-bila masa melalui Sistem Permohonan Dalam Talian yang telah disediakan pada bila-bila masa (http://online.uitm.edu.my/ined/). Pengambilan pelajar dilakukan empat kali setahun, pada bulan Mei dan November bagi permohonan Diploma, Mac dan September bagi permohonan Ijazah.