Soalan Lazim Berkaitan APEL C

Written by Super Admin.

    1. Apa itu APEL?

      APEL ialah satu proses yang digunakan untuk tujuan identifikasi, dokumentasi dan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu seseorang individu. Bagi konteks pengajian di UiTM pula, APEL boleh digunapakai untuk tujuan kelayakan bagi permohonan kemasukan ke program-program di UiTM dan juga mengakreditasi subjek-subjek kursus berdasarkan pengalaman individu tersebut. Berdasarkan pada garis panduan yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), terdapat dua jenis APEL yang digunapakai oleh UiTM, iaitu APEL(A) untuk tujuan permohonan kemasukan ke pengajian di UiTM dan APEL(C) untuk tujuan pemindahan kredit berdasarkan pengalaman bekerja bagi pelajar-pelajar yang telah berdaftar dengan UiTM.

    2. Apa perbezaan antara APEL (A) dan APEL (C)?

      APEL (A) memberi akses atau laluan kepada golongan individu yang sudah mempunyai pengalaman bekerja tetapi tidak mencukupi syarat kelayakan akademik minima yang ditetapkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di institusi pengajian tinggi. UiTM mengiktiraf Sijil APEL (A) bagi tujuan permohonan kemasukan ke program-program yang ditawarkan oleh universiti kami. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan mendaftar sebagai calon APEL (A), sila layari laman web MQA di http://www.mqa.gov.my/APEL/. Anda boleh menggunakan sijil APEL (A) semasa membuat permohonan untuk kursus-kursus yang ditawarkan oleh UiTM.

      APEL (C) ialah satu mekanisma yang membolehkan pelajar UiTM untuk memohon pengecualian kredit untuk subjek berdasarkan pengalaman kerja, pengalaman hidup atau himpunan kursus pendek pelajaran. Hanya pelajar-pelajar yang telah berdaftar di UiTM layak untuk memohon pengecualian kredit melalui  APEL (C) dan ini berdasarkan pengalaman pembelajaran terdahulu pelajar tersebut.

    3. Apakah kebaikan APEL (C)?

      Antara kebaikan APEL (C) ialah:
      • Memungkinkan pelajar menghabiskan pengajian dalam tempoh masa yang singkat.
      • Menggalakkan individu yang bekerja untuk kembali belajar.
      • Mengiktiraf pengalaman pembelajaran individu yang diperoleh di luar aliran formal.
      • Mengelakkan pembelajaran yang berulang.
      • Boleh mengurangkan kos pengajian pelajar.
      • Salah satu kaedah untuk mewujudkan budaya pembelajaran sepanjang hayat.
      • Menjadikan sistem pendidikan tinggi lebih fleksibel dan setanding dengan negara maju.
      • Mewujudkan masyarat berilmu bagi tujuan meningkatkan ekonomi negara dan pembangunan sosial.
      • Menyumbang ke arah pembangunan modal insan negara melalui pengiktirafan pekerja berkemahiran.

    4. Apakah peringkat pengajian yang boleh dipohon dengan menggunakan APEL C?

      Di UiTM, permohonan pemindahan kredit melalui APEL (C) adalah untuk pelajar-pelajar berdaftar di UiTM yang sedang mengikuti pengajian di peringkat berikut:
      • Program Diploma
      • Program Ijazah Sarjana Muda
      • Program Ijazah Sarjana

    5. Fakulti manakah yang menawarkan program dengan menggunakan syarat kemasukan APEL C?

      Bagi permohonan APEL (C), pelajar-pelajar yang telah berdaftar untuk mengikuti program-program pada peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana layak untuk memohon APEL (C) melainkan program-program yang melibatkan pengiktirafan dari Badan Professional (Professional Bodies).

    6.  Bagaimanakah penilaian dibuat bagi APEL (C)?

      Penilaian APEL (C) dibuat mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak MQA. Secara amnya, penilaian akan melibatkan pemetaan pengalaman pembelajaran terdahulu (experiential learning) pemohon dan hasil pembelajaran kursus (learning outcomes) bagi setiap pengecualian kredit bagi subjek yang dipohon melalui APEL (C). Jenis instrumen penilaian akan ditentukan oleh Penasihat APEL (C) dengan mengambil kira keperluan subjek yang dipohon dan tahap pengajian program tersebut. Secara amnya terdapat dua jenis instrumen penilaian bagi APEL (C) iaitu Challenge Test dan Portfolio. Contoh-contoh challenge test adalah seperti ujian bertulis, ujian lisan dan uji-bakat, manakala portfolio adalah dokumen formal yang disediakan oleh pemohon bertujuan untuk menunjukkan pengalaman pembelajaran terdahulu setara dengan hasil pembelajaran kursus (course learning outcomes). Portfolio pemohon mengandungi kompilasi bukti-bukti pembelajaran terdahulu dan disediakan mengikut template yang ditetapkan.

    7. Siapakah yang menguruskan APEL (C) di UiTM?

      Pelajar yang berdaftar di UiTM boleh memohon APEL (C) yang diuruskan oleh Institut Pendidikan Neo (iNED), Universiti Teknologi MARA (UiTM).

    8. Bilakah pelajar boleh memohon APEL (C)?

      Pelajar boleh memohon APEL (C) pada bila-bila masa sepanjang pengajian mereka di UiTM tetapi adalah disarankan agar permohonan APEL (C) dibuat pada tahun pertama pengajian. Pelajar yang telah berdaftar disarankan untuk menyemak pelan pengajian masing-masing dan mengenalpasti mana-mana subjek yang dirasakan boleh diberi pengecualian kredit berdasarkan pengalaman pembelajaran mereka.

    9. Bagaimanakah cara memohon APEL (C)?

      Permohonan untuk APEL (C) adalah terbuka untuk pelajar-pelajar yang telah berdaftar dengan UiTM. Sistem permohonan online untuk APEL (C) boleh didapati di http://iis.ined.uitm.edu.my/.

    10. Siapakah yang boleh dihubungi?

      Untuk pertanyaan lebih lanjut mengenai penggunaan sistem APEL di UiTM, sila hubungi pegawai berikut di Institut Pendidikan Neo (iNED), Universiti Teknologi MARA (UiTM).
      • Puan Hamidah Mohd Ismail, email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. (03-5544 8192 )
      • Puan Nooralwani Binti Salleh, email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. (03-5544 8165 )