Soalan Lazim Berkaitan APEL A

Written by Super Admin.

    1. Apa itu APEL?

      APEL ialah satu proses yang digunakan untuk tujuan identifikasi, dokumentasi dan penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu seseorang individu. Bagi konteks pengajian di UiTM pula, APEL boleh digunapakai untuk tujuan kelayakan bagi permohonan kemasukan ke program-program di UiTM dan juga mengakreditasi subjek-subjek kursus berdasarkan pengalaman individu tersebut. Berdasarkan pada garis panduan yang ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), terdapat dua jenis APEL yang digunapakai oleh UiTM, iaitu APEL(A) untuk tujuan permohonan kemasukan ke pengajian di UiTM dan APEL(C) untuk tujuan pemindahan kredit berdasarkan pengalaman bekerja bagi pelajar-pelajar yang telah berdaftar dengan UiTM.

    2. Apa perbezaan antara APEL (A) dan APEL (C)?

      APEL (A) memberi akses atau laluan kepada golongan individu yang sudah mempunyai pengalaman bekerja tetapi tidak mencukupi syarat kelayakan akademik minima yang ditetapkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di institusi pengajian tinggi. UiTM mengiktiraf Sijil APEL (A) bagi tujuan permohonan kemasukan ke program-program yang ditawarkan oleh universiti kami. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan mendaftar sebagai calon APEL (A), sila layari laman web MQA di http://www2.mqa.gov.my/APEL/. Anda boleh menggunakan sijil APEL (A) semasa membuat permohonan untuk kursus-kursus yang ditawarkan oleh UiTM.

      APEL (C) ialah satu mekanisma yang membolehkan pelajar UiTM untuk memohon pengecualian kredit untuk subjek berdasarkan pengalaman kerja, pengalaman hidup atau himpunan kursus pendek pelajaran. Hanya pelajar-pelajar yang telah berdaftar di UiTM layak untuk memohon pengecualian kredit melalui APEL (C) dan ini berdasarkan pengalaman pembelajaran terdahulu pelajar tersebut.

    3. Bagaimanakah cara memohon APEL A?

      Calon boleh membuat permohonan melalui laman web MQA di http://www2.mqa.gov.my/APEL/. Anda boleh memilih untuk menduduki Ujian Aptitude APEL di UITM atau dimana-mana cawangan yang berdekatan dengan anda. Gunakan sijil APEL A anda untuk memohon masuk ke pengajian di UITM.

    4. Apakah peringkat pengajian yang boleh dipohon dengan menggunakan APEL?

      Di UiTM, sijil APEL (A) diterima bagi empat (4) kemasukan pengajian:
      • Program Diploma (APEL T-4)
      • Program Ijazah Sarjana Muda (APEL T-6)
      • Program Ijazah Sarjana (APEL T-7)

    5. Fakulti manakah yang menawarkan program dengan menggunakan syarat kemasukan APEL?

      Dengan APEL (A), permohonan boleh dibuat untuk mana-mana program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda yang ditawarkan oleh UiTM kecuali program-program yang melibatkan pengiktirafan dari Badan Professional (Professional Bodies).

      Manakala untuk program Ijazah Sarjana, pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menetapkan bahawa bidang pengajian yang boleh dipohon menggunakan APEL (A) adalah seperti berikut:
      • Perniagaan;
      • Seni Persembahan;
      • Teknologi Maklumat;
      • Pendidikan;
      • Pengurusan;
      • Sains;
      • Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan;
      • Pengajian Media;
      • Kewartawanan;
      • Komunikasi Visual;
      • Komunikasi Media;
      • Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan;
      • Kejuruteraan Elektronik;
      • Kejuruteraan Komunikasi;
      • Kejuruteraan Awam;
      • Kejuruteraan Kimia;
      • Kejuruteraan Perisian;
      • Sains Komputer;
      • Sistem Maklumat

    6. Siapakah yang boleh dihubungi?

      Untuk pertanyaan lebih lanjut mengenai penggunaan sistem APEL di UiTM, sila hubungi pegawai berikut di Institut Pendidikan Neo (iNED), Universiti Teknologi MARA (UiTM).
      • Puan Hamidah Mohd Ismail, email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. (03-5544 8192 )
      • Puan Nooralwani Binti Salleh, email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. (03-5544 8165 )